NOTA

MAKHRAJ HURUF

Pengertian Makhraj
Makhraj adalah daripada perkataan Bahasa Arab (Kharaja) yang bermaksud tempat keluar.
Kharaja   Keluar
Makhraj  Tempat Keluar
Ini bermakna, Makraj Huruf    Tempat Keluar Huruf

Makhraj ialah tempat menahan/menyekat udara ketika bunyi huruf dilafazkan. Huruf yang dimaksudkan ialah huruf-huruf hijaiyah bahasa Arab yang mengandungi 28 huruf. Menurut pendapat Imam Al-Khalil bin Ahmad dan kebanyakan Ahli Qira’at dan ulamak nahu antaranya Imam Ibnu Al-Jazari jumlah bilangan makhraj yang umum/utama terbahagi kepada 5 bahagian.



1. Bahagian rongga mulut dan rongga kerongkong (Al-Jaufu).
2. Bahagian kerongkong (Al-Halqu).
3. Bahagian lidah (Al-Lisan).
4. Bahagian bibir mulut (As-Shafatan).
5. Bahagian hidung (Al-Khaisyum).





MAKHRAJ PERTAMA

As-Syafatain (Kedua Bibir)

● Bibir mulut dalam sebelah bawah diangkat mengenai hujung gigi gunting atas, keluar daripadanya huruf fa’ (ف)
● Dua bibir mulut apabila dibulatkan muncung ke hadapan secara terbuka, keluar daripadanya huruf wau (و), dan apabila dua bibir dirapatkan secara ringan, keluarnya huruf ba’ (ب) dan mim (م)

MAKHRAJ KEDUA

Al-Lisan (Lidah)

● Pangkal lidah, apabila pangkal lidah diangkat ke langit-langit lembut ditekankan pada anak lidah, keluar daripadanya huruf qaf (ق).
● Pangkal daun lidah terkeluar sedikit daripada makhraj huruf qaf, keluar daripadanya huruf kaf (ك).
● Pertengahan daun lidah, apabila ia diangkat menekan pada langit-langit keras, kemudian tekanan udara keluar daripadanya terjadilah tempat keluar huruf jim (ج), syin (ش) dan ya’ (ي).
● Sepanjang tepi lidah yang ditekankan pada geraham atas, sebelah kiri atau
kanan, keluar daripadanya huruf dod (ض), ia adalah makhraj huruf yang paling susah disebut.
● Tepi hujung lidah, apabila ia diangkat ke langit-langit keras menekan pada gusi gigi depan sebelah atas yang menjadi tempat sekatan udara, kemudian menekan udara yang berada dalam rongga mulut keluar daripada sekatan, maka keluar daripadanya lafaz bunyi lam (ل).
● Tepi hujung lidah, apabila ia diangkat ke langit-langit keras menekan pada gusi gigi depan sebelah atas yang menjadi tempat sekatan udara, dan langit-langit lembut diturunkan kemudian menekan udara yang berada dalam rongga mulut keluar melalui mulut dan hidung, maka keluar daripadanya lafaz bunyi nun (ن) yang berdengung.
● Tepi hujung lidah berdekatan dengan makhraj huruf nun serta melencong ke belakang tepi hujung lidah , keluar daripadanya huruf ra’ (ر).
● Hujung lidah yang diangkat menekan pada gusi gigi gunting atas, keluar daripadanya huruf tho’ (ط), dal (د) dan ta’ (ت). Cuma tekanan udara pada makhrajnya yang berlainan menyebabkan sebutan huruf itu kuat atau lemah di antara huruf tho’
yang paling kuat, berikutnya dal.
● Hujung lidah yang diangkat ditekankan pada gusi gigi gunting bawah, di antara bahagian depan lidah dan langit-langit keras, keluar daripadanya huruf sad (ص), sin (س), dan zay (ز). Cuma tekanan udara pada makhrajnya yang berlainan menyebabkan sebutan huruf itu kuat atau lemah di antara huruf sad yang paling kuat, berikutnya zay.
● Hujung lidah yang dikeluarkan terletak di antara hujung gigi gunting atas dan hujung gigi gunting bawah, di mana tekanan hujung lidah pada hujung gigi gunting atas, keluar daripadanya huruf zho’ (ظ), zal (ذ) dan tha’ (ث).


MAKHRAJ KETIGA

Al-Khaisyum (Rongga Hidung)

● Pangkal hidung, apabila tepi hujung lidah diangkat ke langit-langit keras menekan pada gusi gigi depan sebelah atas yang menjadi tempat sekatan udara, dan langit-langit lembut diturunkan, kemudian menekan udara dari paru-paru melalui rongga kerongkong, langit-langit lembut dan masuk ke hidung dan keluar, maka keluarlah daripadanya bunyi dengung bagi huruf nun (ن).
● Apabila dua bibir ditutup menjadi tempat sekatan udara, dan langit-langit lembut diturunkan, kemudian menekan udara dari paru-paru melalui rongga kerongkong, langit-langit lembut dan masuk ke hidung dan keluar, maka keluarlah daripadanya bunyi dengung bagi huruf mim (م).
● Hanya huruf nun dan mim yang bersifat dengung.

MAKHRAJ KEEMPAT

Al-Jauf (Rongga Mulut)

● Dari rongga kerongkong hingga rongga mulut, keluar daripadanya huruf Mad: 
Alif (ا), wau (و), ya (ي)

MAKHRAJ KELIMA

Al-Halq (Kerongkong)

● Pangkal kerongkong, keluar daripadanya huruf hamzah (ء) dan ha’ (ه).
● Tengah kerongkong, keluar daripadanya huruf ‘ain (ع) dan ha (ح).
● Hujung kerongkong (sebelah atas dekat lingkungan anak lidah), keluar daripadanya huruf ghain (غ) dan kha’ (خ)
.









Comments

  1. sy mnt izin guna gambar utk mengajar yer

    ReplyDelete
  2. sangat bermanfaat. mohon izin guna bahan utk kelas tajwed

    ReplyDelete
  3. Saya mohon guna utk program helwani

    ReplyDelete
  4. assalamualaikum minta izin untuk guna bahan ya

    ReplyDelete
  5. sy mnta izin utk guna bahan ya. Utk mengajar 🙏🙏

    ReplyDelete
  6. Saya minta izin untuk guna bahan untuk mengajar ya. Terima kasih.

    ReplyDelete
  7. saya minta izin guna bahan mengajar ustaz. terima kasih.

    ReplyDelete

Post a Comment